Monday, May 08, 2006

wahai kau cinta - 4

dua hari ini, aku tak bisa tidur lena. sejak aku menatap dirimu di malam itu, kurasakan cinta yang berputik, kini mekar mengharum di jiwaku. bayangmu sering-sering menggoda aku menjauhi lena. sangkaku, bila aku menatap wajahmu, bila kau dapat aku lihat di depan mataku, maka rindu ini akan lunas. mana mungkin aku tahu, sejak saat pertama kau aku tinggalkan di lobi hotel, perasaan rindu yang mengganda-ganda menyerang diri ini, lalu aku tewas.

pagi ini aku terjaga daripada tidur yang ditemani bayangmu dengan perasaan berat hati. hari ini, kau aku harus lepaskan lagi. entah untuk berapa lama pula. entah secara kebetulan atau tidak, alam hari ini turut meraikan kesedihan aku. langit mendung. matahari tidak mampu menyuluhkan sinarnya. payung di tepi bilik aku capai.

elok-elok aku sampai di pejabat, hujan mula turun gerimis.

"yang, alam pun pandai tahan kau di sini. hujan ni. nampak macam nak ribut. macam mana kau nak balik?" usikku kepadamu melalui sms.

"hehehhe, nak buat macam mana, dah tugas.." pendek jawapanmu.

petang itu hujan sudah melebat, seakan tidak mahu berhenti. aku keluar awal petang itu, tidak sabar untuk bertemu lagi denganmu. mungkin jalan akan sesak petang ini, lalu kita dapat lama-lama di dalam kereta. mungkin banjir kilat hingga kau tidak dapat ke mana-mana dan kita dapat terus bersama lagi. sedikit kemungkinan itu mendatangkan senyuman ke bibirku, mendatangkan harapan kepada hatiku.

kau sudah siap menunggu di lobi hotel dengan menggalas beg.

"mana barang-barang kau?"

"ini" sahutmu sambil menyuakan beg galas itu kepadaku.

"ini jer?" tanyaku, ragu.

kau tertawa besar di situ.

"kau ingat aku perempuan? nak bawak barang mekap bagai? cukupla nih. baju 3 helai, t-shirt sehelai.." kau senyum-senyum mempamerkan lesung pipit yang dalam itu. ku pandang dirimu lama-lama, cuba mengabadikan bayang dirimu di dalam benakku.

"jomlah" ajakmu selepas melihat jam di tangan. aku berjalan lambat-lambat mengekorimu.

"eh, cepatlah! mana aku tahu kau park kat mana" seru kau kepada aku yang masih lagi jalan perlahan-lahan, mengharapkan saat-saat ini tidak akan berakhir. aku mempercepatkan langkah untuk menyaingimu.

entah kenapa pula, walau hujan melebat, tidak pula jalan sesak, tidak pula banjir di mana-mana. perjalanan lancar sahaja ke klia.

"kau tak payah parkinglah. turunkan ajer aku kat sini, boleh kan?" arahmu. aku tersentak mendengarnya, lalu aku diam, lama.

"kalau kau tak anggap aku kawan kau, turunlah.." jawabku perlahan.

kali ini kau pula diam, lama.

"hanim, aku tak mahu susahkan kau.."

"susah apanya? cuma nak parking ajer. tapi, kalau kau tak mahu aku hantarkan, kau turunlah sekarang.." jawabku perlahan sambil memberhentikan kereta betul-betul di tepi balai berlepas itu.

"parkinglah kat dalam" putusmu segera. aku senyum di dalam hati, untuk kemenangan itu.

"ada masa 45 minit lagi nih untuk check-in. kita minum-minum dulu?" cadangmu selepas merujuk kenyataan berlepas/ketibaan. aku angguk perlahan.

"mc d?" tanyamu.

"ok" jawabku sepatah

kita duduk-duduk makan aiskrim sundae di mc donald. aku sekadar bermain-main dengan cokelat di dalam sundae. cuma sesekali satu atau dua suapan kecil singgah ke mulut.

"aku dah percaya pada cinta" tiba-tiba kau bersuara. aku merenung kau lama-lama. hatiku berdebaran.

"kenapa kau cakap macam tu?" tanyaku.

"hmmm" jawabmu sambil tersenyum, tidak mahu menjelaskan lebih lanjut.

"sepanjang aku takde, kau berjaya dah dapat boyfriend?" tiba-tiba soalan itu pula kau ajukan kepadaku.

"kenapa kau tanya macam tu?"

"takderlah. sajer aku tanya. sebelum ni kau selalu habiskan masa bersama aku. mana ada lelaki berani nak dekat bila kau didampingi jejaka kacak lagi macho macam aku nih" katamu sambil mendebat dada.

hampir tersembur aiskrim sundae yang kumakan apabila tiba-tiba tawa meletus keluar dari mulutku. aku senyum mesra kepadamu. kuharap kau lihat cinta di dalam mataku. lihatlah cinta, lihatlah!

"eh, dah lambat ni" kau bingkas bangun dan mencapai beg galasmu. aku turun bangun lalu mengiringi langkahmu.

kau berhenti betul-betul di depan lif mahu turun. kau berpusing ke arahku perlahan.

"hanim, terima kasih. tanpa kau, susahlah aku hari ini" kau berhenti sebentar untuk mempamerkan lesung pipit kesayanganku.

"jaga diri baik-baik. cari orang untuk jagakan lagi baik!" usikmu pula sambil ketawa kecil.

"aku hanya mahu kau yang menjaga aku!" bentak hatiku.

"aku tahu jaga diri, kau percayakan aku kan?" sahut bibirku.

"eh, mestilah" jawabmu sambil tersenyum lagi.

"hanim.."

"yer.."

"aku pergi dulu. see you when i see you" ucapmu untuk ke terakhir kali malam itu.

waktu kau menuruni escalator, air mataku satu-satu menuruni pipiku.

"cinta, jangan pergi!" jerit hatiku.

"faris, take care!" jerit mulutku.

kau berpaling dan senyum kepadaku. hatiku tambah sayu. saat bayangmu menghilang, kerinduan kembali mengasak diri, menghuni hati. lama aku duduk di bangku klia, merenung ke depan, namun apa yang kulihat hanya bayang-banyangmu di sebalik deru air mataku..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home