Wednesday, May 24, 2006

wahai kau cinta - 6

kalau boleh aku putarkan masa, pasti aku akan kembali di masa dulu, di masa kau masih lagi di sisiku. di masa kita meluangkan setiap waktu senggang untuk duduk-duduk di tepi tasik. di saat aku merasakan hidupku lengkap, kerana kau ada. pastinya, aku akan membuat apa sahaja supaya kau juga rasa hidupmu sudah lengkap kerana kau ada aku. pastinya, kau tidak akan melafazkan kepadaku seperti yang kau telah lafazkan di petang itu, bahawa kau tak percayakan cinta. ah, pastilah kau akan percayakan cinta, jika kau mencintaiku seperti mana aku mencintaimu.

entahlah berapa lama, aku duduk di sudut bilik, menggenggam telefon itu erat-erat. entahlah cintaku. bila aku sedar, air mata ini telah kering. lalu aku dail nombor itu.

"hello.." letih sahaja suara itu menjawab.

"rina. kau dah tidur?" tanyaku perlahan.

"hanim, kenapa?" suaranya bernada bimbang.

"faris.." sebakku datang lagi.

"kenapa dengan faris? hanim? kau mahu aku ke sana?" dia cemas.

aku menarik nafas panjang, cuba membenamkan sebak ini jauh-jauh, sekurang-kurangnya untuk sejenak ini.

"takper rina. aku okay. faris, rupanya-rupanya dah berteman.." adu aku perlahan.

dia pula terdiam, lama. pastinya dia tidak menyangka. pastinya dia juga terkejut seperti aku tadi.

"aku call dia tadi. dia cakap kekasih hati dia yang jemput dia kat airport" ah cinta. perkataan "kekasih hati" itu hampir membuat aku tercekik. ah, hatiku marah, memberontak, cemburu, hiba.

"kau okay? nak aku ke sana?" tanyanya sekali lagi.

"rina, apa aku nak buat?" aku kulum sebak yang kembali mengasak jiwa.

"hmmm, kau nak buat apa?" tanyanya kembali kepadaku.

"aku..aku tak sempat nak meluahkan isi hati aku. kau rasa, perlu aku luahkan juga ker?"

"sepatutnya, kau dah luahkan awal-awal dulu" dia berkata sedikit kesal.

"apa nak buat. mana aku sangka jadi macam ni. sekarang..apa perlu aku buat?"

"telefonlah dia balik. luahkan apa yang terpendam. mungkin kurang sikit penderitaan hati kau" nasihatnya.

bagaikan terpanggil dengan perbualan kami, saat itu telefonku berdering pula. ah, pastinya kau, cintaku

"dia janji nak call aku balik. telefon rumah aku berbunyi tu. dia kot"

"angkatlah. nanti kasik lapran penuh!" arahnya kepadaku.

"baik bos" aku cuba berjenaka, walau kudengar hambar di telingaku.

"hello.." kujawab panggilan itu.

"hanim. aku call handset kau tak dapat pulak. mana pergi ha?" rungut kau dengan nada bergurau.

"ada. aku call rina kejap tadi"

"owhh" kau tertawa kecil.

"faris.." aku sudah tidak mau berbolak-balik lagi. biarlah sekarang, sementara aku masih ada sisa-sisa kekuatan.

"hmmm?"

"betul ker?"

"apa yang betul?"

"kau dah jumpa.."

saat itu kau tertawa bersungguh-sungguh. sebal hatiku mendengar kau tertawa, sekana mempermainkan perasaanku.

"betul ker?" desakku lagi.

"hmmm. tak sempat nak ceritakan pada kau. kau ingat kan, aku pernah kata, aku dah percaya pada cinta? sebab dialah aku percaya pada cinta"

ah, cintaku, kalaulah kau tahu, tiap bait ayatmu itu bagai menabur garam ke luka di hatiku. aku mahu menangis lagi. aku mahu menjerit. aku mahu menyalahkan kau, atau menyalahkan diriku, atau juga menyalahkan takdir. namun, lebih daripada itu, aku mahu kau. aku mahu kau hanya milikku..

"faris, aku harus beritahu kau sesuatu. sebelum aku hilang kekuatan"

"hmmm? serius sangat bunyinya" masih ada sisa-sisa tawa di situ.

"sebelum tu, aku nak kau tahu, walau apa terjadi, kaulah temanku, teman paling rapat. dan kau akan tetap jadi temanku sampai bila-bila"

"aku tahu" jawab kau perlahan.

"faris, aku cintakan kau.." aku berhenti di situ, tidak tahu bagaimana hendak kugubah ayat-ayat indah untuk kupersembahkan kepadamu, untuk mewakili setiap rasa di dalam hati ini. kau pula terdiam.

"kalau aku tak luahkan sekarang, aku tak tahu aku boleh maafkan diri aku ke tidak, sebab tak pernah berterus terang pada kau"

"aku tak tahu nak cakap apa" akhirnya kau bersuara.

"kenapa? macam lah rahsia sangat. takkanlah kau tak pernah tahu perasaan aku kepada kau" aku bersuara semakin perlahan.

"aku boleh agak, tapi macam mana aku nak tahu kalau kau tak pernah beritahu" tingkahmu kembali.

"hmmm"

"hanim, hati aku sudah dimiliki. pengakuan kau sudah terlambat" kau bersuara lirih.

"aku tahu faris, aku tahu. aku cuma ingin kau tahu" kata mulutku

"supaya aku tak lagi menderita menanggung rasa ini sendirian" sambung hatiku.

"hanim, aku tak tahu nak cakap macam mana lagi.." katamu perlahan. cinta, benarkah ada nada-nada sesal juga di situ?

"takperlah faris. selamat malam"

aku letak gagang telefon perlahan. sepanjang malam itu, mataku kaku memanah siling bilik. air mataku sudah kering. yang dapat kurasa hanyalah hatiku yang kian meretak..

Monday, May 22, 2006

wahai kau cinta - 5

kalau kutahu daripada dulu, betapa beratnya tanggungan hati bila jasad kita berpisah, mungkin sudah lama aku zahirkan jeritan hatiku ini. namun, pemergianmu yang tiba-tiba tidak menyediakan hati ini untuk terus terpisah. selama ini, kufikir kau akan selalu ada menemaniku.

pemergian kau untuk kali kedua dalam hidupku, benar-benar menyeksa hatiku. setelah ia digula-gulakan dengan kehadiranmu, sekali lagi kau dirampas pergi daripadanya. bila hatiku merintih hiba di malam hari, sering aku memujuknya perlahan-lahan. selalunya, aku tewas juga dengan hati ini. lalu aku biarkan sahaja malam-malamku ditemani air mata kerinduan itu. ah, entah kenapa pemergianmu kali ini semakin mendalamkan rasa rindu di dalam hatiku.

"hanim, aku dah nak naik flight ke us ni. maybe takboleh nak email/sms kau dah. area aku pergi nih remote sangat. see you when i see you lah ek"

sms terakhir kau itu, tak puas-puas aku baca setiap hari. agaknya, kalau tahu menjerit kebosanan, sudah lama telefon bimbitku ini menjerit. setiap patah perkataan itu ku renung lama-lama. setiap kali itu juga, bagai terdengar-dengar lembut nada suaramu menyampaikan pesanan kepadaku.

genap 3 minggu kau di sana, aku sudah menjadi tidak keruan. lalu akalku serasanya mahu saja akur kepada perintah hatiku. ya, aku nekad. kau pulang sahaja daripada us, akan aku sampaikan hajat hati ini. biarlah. daripada sengsara sendiri, hatiku mahu setiap denyut kesepian dan kesedihannya, sekurang-kurangnya diketahui kau.

"aku nekad nak beritahu dia" kataku kepada rina saat kami minum-minum di petang itu. rina, satu-satunya temanku yang mengetahui rahsia hatiku. rina, yang pandai-pandai membaca isi hatiku lalu memancingku untuk berterus-terang kepadanya.

"baguslah" jawab rina sepatah.

"kau tak terkejut?"

"kenapa nak terkejut? lambat laun mesti kau kasi tahu dia jugak kan?"

"hmmm" aku leka memerhati pusar air yang aku buat sendiri di dalam gelas.

"bila nak beritahu?"

aku berhenti bermain-main dengan penyedut minuman itu. aku pandang wajah rina lama-lama.

"tunggu dia balik dulu laa. macam mana nak beritahu, dah duduk dalam hutan" balasku sambil tersenyum sedikit sinis.

"hutan? biar benar"

"hehehhe, dia kata remote area, aku yang pandai-pandai kata hutan"

rina tertawa mendengar penjelasanku.

"jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia diambil orang" rina berlagu pula petang itu kepada aku. aku cuma senyum-senyum sambil hati ini berdoa, semoga hatimu hanya milikku seorang.

malam ini, bila aku tahu kau sudah selamat sampai, aku cepat-cepat mencapai telefon, cuba mendail nombormu. nada dail kedengaran. aku senyum.

"hello.."ah, cinta. damainya hatiku mendengar nada suaramu itu.

"faris.." sepatah itu sahaja yang mahu keluar dari mulutku.

"hanim. aku baru jer keluar dari kastam. pandai ko bajet"

"biasa laa, dapat aura" nah, kau ketawa di hujung sana.

"seronokla ek dah balik.."

"seronokla. kangen berat sama cewek lagi" kau ketawa bersungguh-sungguh sedang jantungku saat itu bagai tidak mahu berdenyut lagi.

"hanim?" panggilmu bila aku terus menyepi.

"ermm, ada ni" aku menjawab perlahan.

"kenapa kau tiba-tiba diam pulak ni?"

"siapa yang kau katakan cewekmu itu??" tanya hatiku marah, cemburu.

"takder apa-apa" hanya itu yang terlafaz dimulutku.

"eh hanim, i call u back. dah sampai dah supir aku"

nada-nada ceria dalam suaramu itu, bagaikan bilah-bilah pisau tajam yang merobek hati ini.

"supir?"

"hehehhe. yerlah. cewekku supirku. boleh buat tajuk filem tak?" kau tertawa senang.

"hmmm, takperlah kalau macam tu. babai" lalu aku menekan punat end call itu sebelum kau dengari sedu sedan yang mulai hendak menguasai diri. kurasa setiap sendiku sudah tidak berdaya lagi berfungsi. lalu aku terduduk diam di sudut itu, membiarkan air mataku terus mengalir..

Monday, May 08, 2006

wahai kau cinta - 4

dua hari ini, aku tak bisa tidur lena. sejak aku menatap dirimu di malam itu, kurasakan cinta yang berputik, kini mekar mengharum di jiwaku. bayangmu sering-sering menggoda aku menjauhi lena. sangkaku, bila aku menatap wajahmu, bila kau dapat aku lihat di depan mataku, maka rindu ini akan lunas. mana mungkin aku tahu, sejak saat pertama kau aku tinggalkan di lobi hotel, perasaan rindu yang mengganda-ganda menyerang diri ini, lalu aku tewas.

pagi ini aku terjaga daripada tidur yang ditemani bayangmu dengan perasaan berat hati. hari ini, kau aku harus lepaskan lagi. entah untuk berapa lama pula. entah secara kebetulan atau tidak, alam hari ini turut meraikan kesedihan aku. langit mendung. matahari tidak mampu menyuluhkan sinarnya. payung di tepi bilik aku capai.

elok-elok aku sampai di pejabat, hujan mula turun gerimis.

"yang, alam pun pandai tahan kau di sini. hujan ni. nampak macam nak ribut. macam mana kau nak balik?" usikku kepadamu melalui sms.

"hehehhe, nak buat macam mana, dah tugas.." pendek jawapanmu.

petang itu hujan sudah melebat, seakan tidak mahu berhenti. aku keluar awal petang itu, tidak sabar untuk bertemu lagi denganmu. mungkin jalan akan sesak petang ini, lalu kita dapat lama-lama di dalam kereta. mungkin banjir kilat hingga kau tidak dapat ke mana-mana dan kita dapat terus bersama lagi. sedikit kemungkinan itu mendatangkan senyuman ke bibirku, mendatangkan harapan kepada hatiku.

kau sudah siap menunggu di lobi hotel dengan menggalas beg.

"mana barang-barang kau?"

"ini" sahutmu sambil menyuakan beg galas itu kepadaku.

"ini jer?" tanyaku, ragu.

kau tertawa besar di situ.

"kau ingat aku perempuan? nak bawak barang mekap bagai? cukupla nih. baju 3 helai, t-shirt sehelai.." kau senyum-senyum mempamerkan lesung pipit yang dalam itu. ku pandang dirimu lama-lama, cuba mengabadikan bayang dirimu di dalam benakku.

"jomlah" ajakmu selepas melihat jam di tangan. aku berjalan lambat-lambat mengekorimu.

"eh, cepatlah! mana aku tahu kau park kat mana" seru kau kepada aku yang masih lagi jalan perlahan-lahan, mengharapkan saat-saat ini tidak akan berakhir. aku mempercepatkan langkah untuk menyaingimu.

entah kenapa pula, walau hujan melebat, tidak pula jalan sesak, tidak pula banjir di mana-mana. perjalanan lancar sahaja ke klia.

"kau tak payah parkinglah. turunkan ajer aku kat sini, boleh kan?" arahmu. aku tersentak mendengarnya, lalu aku diam, lama.

"kalau kau tak anggap aku kawan kau, turunlah.." jawabku perlahan.

kali ini kau pula diam, lama.

"hanim, aku tak mahu susahkan kau.."

"susah apanya? cuma nak parking ajer. tapi, kalau kau tak mahu aku hantarkan, kau turunlah sekarang.." jawabku perlahan sambil memberhentikan kereta betul-betul di tepi balai berlepas itu.

"parkinglah kat dalam" putusmu segera. aku senyum di dalam hati, untuk kemenangan itu.

"ada masa 45 minit lagi nih untuk check-in. kita minum-minum dulu?" cadangmu selepas merujuk kenyataan berlepas/ketibaan. aku angguk perlahan.

"mc d?" tanyamu.

"ok" jawabku sepatah

kita duduk-duduk makan aiskrim sundae di mc donald. aku sekadar bermain-main dengan cokelat di dalam sundae. cuma sesekali satu atau dua suapan kecil singgah ke mulut.

"aku dah percaya pada cinta" tiba-tiba kau bersuara. aku merenung kau lama-lama. hatiku berdebaran.

"kenapa kau cakap macam tu?" tanyaku.

"hmmm" jawabmu sambil tersenyum, tidak mahu menjelaskan lebih lanjut.

"sepanjang aku takde, kau berjaya dah dapat boyfriend?" tiba-tiba soalan itu pula kau ajukan kepadaku.

"kenapa kau tanya macam tu?"

"takderlah. sajer aku tanya. sebelum ni kau selalu habiskan masa bersama aku. mana ada lelaki berani nak dekat bila kau didampingi jejaka kacak lagi macho macam aku nih" katamu sambil mendebat dada.

hampir tersembur aiskrim sundae yang kumakan apabila tiba-tiba tawa meletus keluar dari mulutku. aku senyum mesra kepadamu. kuharap kau lihat cinta di dalam mataku. lihatlah cinta, lihatlah!

"eh, dah lambat ni" kau bingkas bangun dan mencapai beg galasmu. aku turun bangun lalu mengiringi langkahmu.

kau berhenti betul-betul di depan lif mahu turun. kau berpusing ke arahku perlahan.

"hanim, terima kasih. tanpa kau, susahlah aku hari ini" kau berhenti sebentar untuk mempamerkan lesung pipit kesayanganku.

"jaga diri baik-baik. cari orang untuk jagakan lagi baik!" usikmu pula sambil ketawa kecil.

"aku hanya mahu kau yang menjaga aku!" bentak hatiku.

"aku tahu jaga diri, kau percayakan aku kan?" sahut bibirku.

"eh, mestilah" jawabmu sambil tersenyum lagi.

"hanim.."

"yer.."

"aku pergi dulu. see you when i see you" ucapmu untuk ke terakhir kali malam itu.

waktu kau menuruni escalator, air mataku satu-satu menuruni pipiku.

"cinta, jangan pergi!" jerit hatiku.

"faris, take care!" jerit mulutku.

kau berpaling dan senyum kepadaku. hatiku tambah sayu. saat bayangmu menghilang, kerinduan kembali mengasak diri, menghuni hati. lama aku duduk di bangku klia, merenung ke depan, namun apa yang kulihat hanya bayang-banyangmu di sebalik deru air mataku..

Friday, May 05, 2006

wahai kau cinta - 3

pagi itu langit biru, cerah. ada sedikit tompok-tompok awan putih mencalit biru langit. pagi itu, mudah sungguh senyuman singgah di bibirku. singgah dan tidak mahu berganjak lagi. semua yang aku temui pagi itu, percuma-percuma mendapat hadiah senyumku itu.

"aik hanim, senyum ajer pagi nih?" usik rakan sekerjaku itu dalam nada hairan. aku cuma senyum lagi sambil mengangkat bahu. sebelum beredar dari mejaku, sempat dia menepuk2 mesra bahuku. aku senyum lagi.

"ada date kot hari nih. berseri-seri semacam ajer" usik rakan yang lain. aku tidak mengiyakan atau menidakkan kata-katanya itu. bunyi telefon bimbitku menyelamatkan aku daripada melayani mereka lebih lanjut.

"aku dah touch down ni. kejap lagi nak ambik teksi pergi hotel" pesanmu melalui sms.

kurasakan saat itu hatiku berbunga-bunga kegembiraan. kalau boleh, hendak sahaja aku percepatkan masa hingga ke waktu malam. segala tuntutan naluri, desakan hati untuk bersamamu, akan aku lunaskan malam ini. cintaku, sesungguhnya aku sudah tidak sabar lagi!

"aku tunggu di lobi hotel" kata smsmu yang kuterima di saat aku sedang bersiap-siap untuk menemuimu. sebelum keluar sempat aku menjeling cermin panjang pada almari itu. jelas-jelas terpantul bayangan ceria diri ini di situ.

saat aku tiba di lobi hotel, kau kulihat seakan telah lama menungguku di situ. kau bingkas bangun bila kau lihat aku. sepasang mataku membelai dirimu dari hujung rambut ke hujung kasut kulitmu yang hitam berkilat. ah cinta, kenapa hati ini berdebaran kencang bila aku melihatmu?

"hanim!" serumu.

aku tersenyum senang dan mempercepat langkahku menghampirimu.

"cinta, peluklah daku erat, lama. biar reda rindu ini" pinta hatiku.

"dah lama tunggu?" ucap mulutku.

"lama tak lama laaa. sempatla habis 2 batang rokok aku nih" jawabmu sambil tersenyum nakal. sepasang lesung pipit yang aku rindui mempamerkan diri, seakan menggoda diriku.

"hei, kenapa kau tenung aku macam tu?" tanyamu sambil merenung tepat ke mataku. kurasakan pipiku merona, hangat.

"aku rindu.." sahut hatiku.

"saje" jawab mulutku, masih enggan menzahiri kata hati.

"jom. aku dah lapar" pintasku bila kulihat kau seakan mahu terus-menerus mengusik diriku. tanpa menunggu dirimu, aku terus berpaling menuju ke keretaku.

"eh, tunggulah" katamu sambil melangkah laju-laju untuk menyaingiku.

tidak banyak yang kita katakan di dalam kereta. kau masih macam dulu, bila kutanyakan mahu ke mana, mahu makan apa, kau masih menyerahkan segalanya padaku. lalu kereta kupandu melalui jalan paling sibuk di situ. biarlah. aku ingin lama-lama terperangkap di dalam kesesakan ini.

"kata lapar tadi. kenapa kau ikut jalan ni jugak? macam tak tahu jalan nih selalu jammed" rungutmu bila kereta kita tidak lagi lepas ke tempat dituju padahal sudah lebih sejam di dalam kereta.

"hmmm, aku nak pergi makan kat kedai ikan bakar tu. sedap kan ikan kat situ. takperla sesak-sesak sikit nih, berbaloi apa. ke, kau tak suka lama-lama dengan aku..?" tanyaku dengan nada sedikit sayu.

"isk, kenapa cakap macam tu? aku tanya ajer. tadi beriya lapar" jawabmu perlahan.

"faris.."

"hmmm?"

"nanti kita ke tasik nak? lama kau tak ke sana"

"aik, kata lapar. ni ajak ke tasik pulak? cukup makan asap rokok aku aje ker?" tanyamu sambil ketawa kecil.

"bukan sekarang laa. maksud aku, lepas makan"

"tak lewat sangat ke? tengok, sekarang dah pukul 930. jammed macam ni, pukul 10 lebih baru sampai kedai, makan-makan dah dekat pukul 12. esok kau kan kerja. aku pun start kursus esok. pukul 830 pulak tu" tolakmu perlahan.

"esok?"

"hmmm, esok aku tak dapat keluar dengan kau laa hanim. malam pun ada function. lusa, aku balik flight malam tu. so, lepas kursus kena berkemas pulak"

aku tersentak. ah cinta, belum puas aku dengan kehadiranmu di sini, kau sudah mahu pergi? tidak adakah ruang untuk kita menghabiskan masa bersama seperti dulu-dulu? perasaan sebak mengasak-ngasak dadaku. aku diam, agak lama, cuba mengawal emosiku.

"hanim.."

"yer.."

"lusa kau hantarkan aku ke airport boleh? kalau kau tak sibuklaa" pintamu.

"mestila boleh.." janjiku pantas.

"mujur tak ramai orang. situ-situ, parking situ" arahmu sambil jarimu menuding-nuding ke kiri.

aku senyum dan pantas memberi isyarat ke kiri. tanpa menunggu aku, kau pantas-pantas sahaja menuju ke gerai ikan bakar itu.

"hanim! sini!" panggilmu.

"tak sabar-sabar" rungutku dalam nada mengusik.

"hehe, aku laparlah" bela dirimu sambil mengusap-ngusap perut.

malam itu kau makan bersungguh-sungguh. aku? aku pula tiba-tiba terasa kenyang, melihat dirimu makan. selebihnya, aku terasa kenyang kerana hatiku sudah tidak lapar lagi. hatiku sudah dijamu dengan kehadiran dirimu di sisiku.

sata-saat indah, janganlah kau berlalu pergi..