Tuesday, September 18, 2007

wahai kau cinta - 12

cincin berjalur emas putih dengan taburan berlian halus diletakkan dihadapan kita. aku kira aku terpesona dengan kilauan cantik yang datang daripada cincin itu. kau cuma memandang sekilas sebelum menoleh ke arah lain. aku sempat melihat riak resah di wajahmu. aku mengeluh perlahan di dalam hati. bagaikan terasa sama di dalam hatiku segala beban dihatimu. cinta, adakah aku terlalu mendesakmu? mendesakmu memilih diriku lalu mengorbankan kebahagiaanmu?

telefon bimbitmu menjeritkan lagu jepun kesukaanmu sewaktu aku mengacu cincin ke jari manisku. aku sempat melihat riak kegembiraan yang melintas sejenak di wajahmu sebelum kau memilih untuk mematikan panggilan. sebentar kemudian telefon itu menjerit lagi, dengan nada dering yang serupa.

"angkatla telefon tu" saranku tanpa berbasa-basi.

"sekejap ye"

lalu kau keluar daripada kedai untuk menjawab panggilan. aku sedikit terguris dengan perlakuanmu. apakah yang ingin kau rahsiakan daripadaku wahai cinta? dikejauhan aku dapat melihat kau bercakap dengan wajah yang ceria. lesung pipit kesayanganku yang amat kurindui itu mendalam lalu menambahkan kemanisan wajahmu. ketika itu aku kembali melihat dirimu yang dulu, yang amat kurindu.

entah bagaimana, tiba-tiba matamu menikam tepat ke mataku yang asyik dengan gelagatmu. aku yang asyik mencuri pandang dengan seribu macam rasa yang bergolak di jiwa. alangkah pedihnya hatiku bila senyumanmu terhenti. kau melihat jam di tangan lalu cepat-cepat menghabiskan panggilan. tanpa bertanya aku tahu siapa yang menghubungimu. ombak-ombak cemburu menghempas keras di jiwaku.

"cincin ni ok. ambil je lah. lepas ni kita balik terus ek. rasa macam tak sedap badan" kataku sebelum sempat kau melabuhkan punggung kembali di sebelahku.

ada riak terkejut di wajahmu. dan mungkin ada riak bersalah di situ. kau membuka mulut mungkin untuk memberi kenyataan membela diri tapi cepat-cepat kutepis.

"aku penat la. banyak sangat jalan-jalan shopping kot. ada yang sikit-sikit lagi ni esok lusa laa sambung"

"tapi kan minggu depan kita dah.."

"esok pun boleh lagi" pintasku sebelum sempat kau habiskan kata-kata.

kau memandang aku lama. mungkin kau cuba membaca detak hatiku. kemudian kau mengangguk lalu cepat-cepat menghabiskan urusan dengan jurujual. sewaktu melangkah keluar daripada kedai, kau raih lagi tanganku namun aku menarik kembali tanganku itu dari genggamanmu. kau tidak berkata apa-apa, cuma melangkah pantas disebelahku.

kita diam dalam perjalanan pulang. aku sibuk meladeni hati dan perasaanku yang berperang. engkau mungkin juga sama sepertiku.

"hanim..ko marahkan aku?" kau cuba memecahkan kesunyian.

"kenapa nak marah?" ah, daripada cara aku menjawab pun pasti kau tahu perasaanku.

"aku tak layan kau dengan cukup baik masa kita keluar tadi?" kau cuba-cuba meneka apa yang mengganggu diriku.

"hmmm" aku malas untuk memanjangkan cerita lagi.

kau diam sesudah itu. mungkin kau buntu memikirkan ayat-ayat yang sesuai untuk menyejukkan hatiku yang panas. ayat untuk memujuk diriku yang merajuk dan berkecil hati tanpa kau tahu puncanya. agaknya.

ingin sekali aku tanyakan padamu, ikhlaskah kau melamar aku tempoh hari. namun aku memilih untuk diam kerana hati kecilku sibuk pula bertanya, betulkah keputusan aku yang mendesak kau memilihku. akan bahagiakah aku melihat kau memendam rasa, mengenepikan kebahagianmu demi aku. benarkah aku memang tidak boleh hidup tanpa dirimu?

sejenak selepas soalan terakhir itu terlintas dibenakku, aku tersentak. ya, benarkah begitu? benarkah aku tidak mungkin mencintai lelaki lain? benarkah tiada lelaki lain yang boleh memberikan kebahagiaan kepada diriku? benarkah hatiku hanya mau kau sahaja tanpa tolak ansur dan timbang rasa. dan benarkah akhirnya aku akan dapat melembutkan hatimu supaya mencintai aku sedalam cintaku padamu.

"kita dah sampai" suaramu mengejutkan aku.

"nak masuk dulu?" aku berbasa-basi setelah melihat mama yang keluar menjengok dari muka pintu menggamit-gamit memberi isyarat menyuruh aku mengajak kau singgah.

"takpelah. dah lambat dah ni. esok nak keluar lagi kan" kau menolak lembut sambil membuat isyarat sudah lewat kepada mama yang masih beriya-iya di muka pintu.

aku diam lalu mencapai beg plastik di tempat duduk belakang. tanpa apa-apa pesanan aku melangkah meninggalkan kau.

"esok dah siap nak keluar tuh call ek" pesanmu pantas.

aku hanya mengangguk tanpa memberi jawapan. kau mengangkat tangan kepada mama sebelum memandu pergi. entah mengapa kurasakan seolah-olah kau tidak akan kembali lagi.

aku ingin menangis namun air mata terasa mahal mahu menitik keluar.