Tuesday, June 20, 2006

wahai kau cinta - 9

petang itu, di suatu waktu itu, kita duduk-duduk di tepian tasik. aku leka memandang orang lalu lalang. sesekali aku menyedut rokok dalam-dalam lalu menghembuskannya ke arah langit. kau pula leka membaca novel di tanganmu. sesekali kau tersenyum. mungkin ada yang mencuit hatimu saat itu. lalu tiba-tiba kau tutup novel itu. kau pandang aku tepat di mataku.

"macam mana ek perasaan di cintai sepenuh hati oleh seseorang?"

aku senyum mendengar pertanyaan itu. selebihnya, aku senyum melihat riak mukamu yang seakan penuh harap saat itu. penuh harap untuk dicintai seseorang. sengaja aku memilih untuk tidak menjawab pertanyaanmu itu. kau yang seakan kecewa kerana aku tidak menjawab, memandang jauh-jauh ke arah tasik pula.

"macam mana pula perasaan kehilangan seseorang yang amat kita cintai?" tanyamu perlahan, mungkin pertanyaan itu lebih kau tujukan kepada dirimu sendiri dan bukan kepada aku.

"faris.." panggilmu kemudian. suaramu perlahan sahaja.

"hmmm?"

"sakit sangat ke perasaan tu ek? betul ke kita boleh mencintai orang sampai tahap macam tu sekali ek? sampai tahap kita rasakan hidup kita tak lengkap kalau dia tak ada?" kau bertanya lagi tanpa putus asa.

"kenapa kau tanya macam ni?"

"takla, aku baca dalam novel ni.."

aku ketawa besar mendengar jawapanmu itu. memang sudah kuduga, itu semua berpunca daripada novel ditanganmu itu. kau mencebik, barangkali jengkel dengan tawaku itu.

"kau nak rasa ke macam mana?" dugaku.

"eeeeeeee, tak mau laaa" kau menggeleng-geleng laju.

"kau tak mau dicintai seseorang sepenuh hati?" sengaja aku berpura-pura salah faham, untuk mengusikmu.

"bukanlaa. aku tak mau rasa sakit kehilangan tu" kau menjawab. tulus sahaja bunyinya. aku senyum, malas hendak melayan anganmu itu.

"tapi kan faris.." kau diam di situ.

"kenapa?"

"kalau aku kehilangan kau pun, aku rasa aku akan jadi macam dalam novel ni"

aku tersentak sebenarnya saat itu. yakin benar hati ini menjerit, kau sudah jatuh cinta pada diriku. mungkin juga, saat itu sebenarnya kau sendiri tidak tahu kau sudah jatuh cinta padaku. mungkin juga kau tahu, tetapi kau memilih untuk tidak berterus-terang, lalu kau pilih untuk menghantar isyarat-isyarat tersirat seperti ini.

"kau rasa kau akan kehilangan teman baikmu ini?" sengaja aku tekankan perkataan 'teman baik' itu. kau menggigit bibir.

"takla, aku cuma kata 'kalau'"

"dah lah. jangan fikir panjang-panjang. kan tak jadi pun. kau aje yang susah hati" aku menasihatimu. kau tidak menjawab lagi, lalu kau kembali menatap novel di tangan.

lalu di hari-hari lain, semakin kerap pula kau memberi isyarat-isyarat, seakan-akan kau cuba menyatakan isi hatimu, yang mencintai aku. sedaya upaya juga, aku cuba mengelak. ya, aku sayangkan kamu. lebih dari rakan-rakanku yang lain. cumanya, hati aku ini tidak bisa kupaksa untuk mencintaimu.

saat aku menemui kekasih hatiku, nun jauh di bumi seberang ini, ada juga terdetik kebimbangan di hati ini. namun aku yakin, kau pasti akan berbahagia untukku. aku harap kau akan berasa bahagia untukku.

waktu pertama kali aku menyebut tentang dirinya, kau terdiam, lama. walaupun begitu, keyakinanku tidak luntur yang kau akan tetap bisa menerima kenyataan ini.

tahukah kau, betapa terkejutnya aku menerima panggilan telefonmu itu. kau nyatakan kau ada di lapangan terbang soekarno-hatta. lalu kemudian kau putuskan panggilan. seakan memberi kata putus kepada aku. 'datang atau..' ah, aku takut memikirkan 'atau' itu, lalu aku tanpa berlengah menuju ke lapangan terbang.

kau yang aku temui, duduk di bangku laangan terbang. mata kau pejam. sisa air mata mencemarkan kedua pipimu. matamu bengkak, lebam. riakmu yang masih lena itu menyentap hati ini. alangkah sayunya riakmu itu, seakan kau sedang mengalami penderitaan paling berat. aku duduk di sisimu, lalu ku panggil lembut namamu.

waktu kau buka matamu, sejenak itu ada cahaya kegembiraan di matamu yang basah. aku mengeluh. bukan kerana aku tidak suka kau ada di situ. aku mengeluh kerana aku teringat perbualan kita di tepi tasik tentang cinta, tentang penderitaan, tentang kehilangan. kau yang tidak mahu merasa kesakitan itu, saat ini sedang mengalaminya sendiri. aku mengeluh kerana aku tahu, akulah punca segala penderitaan dan kesedihanmu itu.

kau pula beranggapan aku sudah benci padamu. lalu bila kau menangis, aku juga ingin turut sama meraung. kesyahduan meruntun, menggigit hatiku. aku tidak tahan melihat air matamu. lalu aku peluk kau erat-erat. biarlah segala kesakitanmu itu, kau pindahkan kepada aku. biarlah tiada lagi air mata yang membasahi pipi.

air matamu itu membasahi kemejaku. lalu saat itu yakinlah aku, sungguh-sungguh kau mencintai aku sepenuh hati. lalu aku serba-salah. kau aku bawa berehat di hotel. kupastikan kau tidur. lalu kubelikan kau makanan. kupastikan kau makan. aku ingin dirimu yang dulu!

permintaan kau kemudiannya mengejutkan aku. sesuatu yang aku katakan dengan tidak serius, kau ambil berat rupanya.

sebenarnya, saat aku menyetujuimu, dan mengajak kau pulang, aku hanya pura-pura.

"faris..faris.." racaumu dalam tidur, disertai air mata yang menitis laju dipipimu.

saat itulah aku membuat keputusan ini. salah atau benar, apa yang aku tahu, aku tak mungkin membiarkanmu terus bergelumang di dalam penderitaan ini. hanim, kaulah temanku yang paling rapat denganmu. hanim, kaulah juga bakal ibu kepada zuriatku ini..

Friday, June 09, 2006

wahai kau cinta - 8

lama kau biarkan aku menangis. sudahnya, aku terlena keletihan. anehnya, bila aku terjaga kali itu, aku sudah tidak berasa apa-apa. sudah tidak berasa pedihnya hatiku yang luka. kulemparkan pandangan keseluruh bilik, kau tiada di situ. kuhela nafas, berat. di atas meja, ada satu kertas, yang barangkali pesanmu kepadaku. perlahan-lahan aku bangun dan mencapai kertas itu.

hanim,

rehatlah dulu. nanti aku datang balik.

-faris-

aku letakkan kembali kertas itu ke atas meja. perlahan-lahan aku melangkah ke bilik air. kubasuh mukaku yang sembab. kemudian aku membuka shower. lama aku berdiri di bawah rintik-rintik air itu. kucuba membasuh segala sisa-sisa keperitan ini. cinta, aku yakin dengan apa yang aku akan lakukan ini.

kau datang lagi dengan membawa makanan, kali ini dengan pakaian kerja. aku mengangkat kening sedikit, memandang ke arah kau.

"aku baru balik office. terus singgah sini bawak makanan untuk kau. kau mesti lapar kan? lunch pun tak makan kan?"

aku mengangguk, mengiyakan kata-katamu

"makanlah. aku kenyang lagi" kata kau sambil menghulurkan bungkusan itu.

aku sambut juga bungkusan itu, walau tidak sepenuh hati.

"faris.."

"hmmm?"

"pernahkah aku minta apa-apa dengan kau?"

"eh, selalu ajer kan? kalau tak cukup seposen dua waktu shopping ke makan ke, kan kau selalu minta" balasmu, kau berkata begitu sambil tertawa, mempamerkan lesung pipingmu.

aku diam, tidak turut serta tertawa seperti selalu. kau terus berhenti tertawa saat itu.

"kau ingat lagi, kau pernah kata, kalau boleh punya anak tanpa melalui alam perkahwinan, sudah pasti kau mahu"

"hanim.." suaramu bimbang berbaur sedikit amaran, seakan kau bisa membaca fikiranku saat ini.

"faris, aku faham, kau takkan boleh kasi hati kau pada aku. tapi aku ingin sesuatu darimu. sesuatu yang berharga darimu. aku inginkan zuriatmu faris.." sengaja aku berhenti di situ, cuba membaca reaksimu. kau hanya diam, tunduk memandang lantai.

aku pegang tanganmu. aku tunggu kau memandang tepat ke mataku.

"faris, aku merayu pada kau. tolonglah. hanya ini yang aku mahu darimu. aku rela faris, aku rela. asal aku punya sesuatu daripada kau"

kau mengeluh. kau alihkan pandangan daripada mataku, ke dinding dibelakangku.

"hanim, aku hantar kau balik malaysia yer? aku dah beli tiket tadi, flight pagi esok. aku dah ambil cuti 3 hari"

aku menggeleng-gelengkan kepala, laju.

"tidak faris. aku tak mahu balik. at least tidak sampai kau setuju dengan permintaan aku ni"

kau berdiri saat itu. lalu kau berulang-alik ke sana ke sini di dalam bilik itu. sekejap-sekejap kau picit-picit kepalamu. sekejap-sekejap kau merenung aku. sekejap-sekejap kau mengeluh.

"hanim, kita balik dulu. nanti sampai malaysia kita bincang lagi, ok?" kau cuba membuat tawaran kepada permintaanku.

"tidak faris. kalau kita balik, nanti kau akan tinggalkan aku di sana, tanpa jawapan. ingat faris, kalau kau buat macam tu, aku sedaya upaya akan cari kau lagi" aku menjawab dengan ugutan itu.

"hanim..kenapa jadi macam ni?" keluh kau.

aku cuma diam, sedang hati aku sudah menangis lagi. memangis kerana berperang, separuh kasihankan kau, separuh simpatikan aku. aku kuatkan hati. aku bulatkan hati yang sudah berbahagi itu.

"baiklah. tapi kita balik malaysia dulu, apa-apa pun" katamu pantas, mungkin bimbang aku memperlakukan apa-apa kepadamu saat itu.

"kau janji?"

"sejak bila kau sudah tak percayakan aku ni?"

aku diam sahaja mendengar kau berkata demikian.

sudahnya, kita terbang juga pulang ke malaysia. kau dan aku tidak banyak berkata-kata dalam penerbangan pulang. selebihnya, aku tidur sahaja, bila kau arahkan aku tidur.

kau yang mencari teksi sebaik sahaja keluar daripada kastam di klia. aku sedikit terkejut bila teksi tidak menghala ke rumah sewaku.

"faris?"

"kita pulang rumah parents kau" itu jawapanmu.

mama dan papa terkejut dengan ketibaan kita, apatah lagi dengan keadaanku yang sedikit tidak terurus itu. mama memeluk erat diriku setelah aku menyalami dan mencium tangannya.

"bila balik faris?" tanya papa berbasa-basi.

"tadi ni pakcik" jawab kau pendek.

"eh, masuklah, masuk" pelawa mama tiba-tiba, seakan baru tersedar kami masih di luar rumah.

aku melangkah terus ke bilik, membiarkan faris dengan papa. mama mengekoriku.

"kenapa ni hanim?" tanya mama lembut.

aku tidak menjawab. kurebahkan diri ke pangkuan mama. mama membelai-belai rambutku perlahan-lahan. mama tidak lagi menanyakanku apa-apa, mungkin memberiku peluang untuk bersuara sendiri. entah berapa lama aku dan mama begitu. waktu papa menjengok masuk, mama masih tak jemu-jemu membelai rambutku, penuh kasih sayang.

"faris melamar kamu tadi melalui papa" papa bersuara setelah menarik kerusi dan duduk berhampiran katilku.

aku bingkas bangun dari pangkuan mama. mama yang tercengang-cengang melemparkan pandangan bergilir-gilir antara aku dan papa.

"hanim, cuba cerita dengan mama, apa yang terjadi ni?" pinta mama.

papa angkat tangan, seakan cuba menghalang mama daripada terus bersuara.

"papa katakan padanya, kita nih orang melayu, beradat. papa minta dia tanyakan kamu secara beradat juga. kata dia, dia akan uruskan dengan ibu dan ayahnya. mungkin mereka datang esok atau lusa" sambung papa.

aku tersentak. tidak kusangka, ini pula yang kau lakukan. tidak pernah terlintas di fikiran kau akan membuat keputusan sebegini.

"biar hanim call faris dulu" aku bingkas bangun lalu mencapai telefon.

papa menggamit mama supaya meninggalkan aku seorang di dalam bilik.

"hello" suara kau kedengarannya letih sangat.

"faris?"

"hanim"

"kenapa?"

"bukankah ini yang kau minta?"

"aku tak minta kau korbankan diri untuk aku" kau tergelak di situ.

"hanim hanim. kenapa kau tak boleh fikir ke depan sikit?"

"kenapa?"

"kau ada parents, ada family, ada rakan-rakan. macam mana kau nak besarkan seorang anak luar nikah?"

aku diam.

"dan hanim.."

"hmmm?"

"kau ada agama" lembut sahaja suaramu yang menusuk masuk ke hatiku. dan saat itu cepat-cepat aku beristighfar. alangkah jauhnya aku dibuai kealpaan.

"aku akan cuba tunaikan permintaan kau yang satu ini hanim. bila lahir zuriat kita nanti.." kau tidak menghabiskan ayat itu.

"faris.."

"aku takkan memungkiri janji aku hanim. aku dah janji dengan kau" itu ayat terakhir darimu sebelum kau memutuskan panggilan.

cinta, adakah aku merosakkan hidup kau dan aku, hanya untuk kepentingan diriku sendiri? cinta, apa yang sudah aku lakukan? kupejamkan mata erat-erat, cuba membuang realiti jauh-jauh. sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini...

Thursday, June 08, 2006

wahai kau cinta - 7

sebenarnya, saat ini, apa yang ingin aku lakukan ialah memejamkan mataku, belayar ke alam mimpi lama-lama. mungkin nanti kau akan muncul di mimpi-mimpi indahku, lalu kau peluk erat diriku. atau kau genggam erat tangan ini dan membuat aku berasa selamat selamanya. mungkin juga bila aku terjaga, semua kenyataan yang pedih ini hilang tiba-tiba.

namun, bila kupejam mata ini, bayang-bayangmu yang hadir semakin mengundang sebak di hati ini. lalu rindu pula yang mengasa-asak jiwaku. lalu air mata yang kurasa sudahpun kering, tiba-tiba hangat membasahi pipi. cinta, mengapa harus hadirnya cintaku kepadamu ini?

beberapa hari itu, aku hidup seakan berada di dunia lain. segala pergerakkanku, segala tingkahku, segala bait-bait ayat yang keluar dari mulutku, semuanya bagai telah diprogram. rina bimbang. rakan-rakan sekerja ada juga yang bimbang. semuanya aku tidak pedulikan. rina sedaya upaya menemaniku setiap malam. sanggup dia mengemas pakaiannya lalu bermukim di rumahku pula, walau sudah kutolak lembut pelawaannya untuk menemaniku.

"rina, esok tak perlulah kau bermalam di sini" ujarku perlahan, malam itu.

"eh, takperla. aku pun bosan kat rumah tuh" tolaknya lembut.

"rina.."

"hmmm?"

"esok aku ke jakarta. dah ambil tiket dah on the way balik kerja tadik" terangku, sambil mataku memandang tepat ke luar tingkap, ke arah titis-titis hujan yang menuruni bumi, yang dipanah cahaya lampu jalan,

rina diam, lama.

"kau nak buat apa pergi sana?" lembut sahaja pertanyaan rina, namun tetap menyentak kalbuku.

"entahlah.." keluhku perlahan.

"kau pasti dengan tindakan kau ni?"

aku angguk-angguk perlahan. kurasakan panahan mata rina menikam wajahku. rina capai tanganku, lalu digenggamnya erat-erat.

"hanim..aku sentiasa ada untuk kau. kau sentiasa ada aku, selama-lamanya. ok?"

aku biarkan air mata mengalir membasahi pipiku untuk kesekian kalinya.

"aku rasa, aku perlu jumpa faris. aku perlu.." esak tangisku menjadi penutup ayatku. rina memeluk aku pula kali ini. diurut-urutnya lembut belakang badanku.

malam itu, rina pula yang bersusah-payah mengemaskan barang-barangku, sementara aku terperosok di sudut bilik memerhatikannya. cinta, hati dan jiwa ini sudah pun tiba di jakarta, sudah pun mencari kau di sana.

petang ini aku mendarat di lapangan terbang soekarno hatta. pemergianku ke sini, hanya diketahui oleh rina. kau juga tidak tahu aku akan ke mari. saat ini, aku keluarkan telefon bimbitku, lalu kudail nombormu.

"hello" suaramu tetap seperti selalu, membuat jiwaku bergetaran lalu membuai perasaanku. entah kenapa sebak itu mengasak lagi.

"faris, aku ada di airport" kataku perlahan, cuba mengawal getaran suaraku dari pendengaranmu.

"airport? kau nak pergi mana?"

"aku ada di soekarno hatta" gumamku pula.

kau diam. aku pula merasakan seakan bom nuklear meledak di dalam diriku. perbuatan kau yang diam itu seakan jawapan kepada segalanya. kau yang diam itu, seakan-akan menghalau aku pulang. keadaan yang mendesak ini, tiba-tiba melahirkan satu ilham baru kepadaku.

"aku tunggu kau datang." aku pecahkan kesunyian itu dengan sebaris ayat itu sebelum aku memutuskan panggilan.

kuhela nafas perlahan-lahan, lalu aku mencari tempat untuk melabuhkan punggung. ku peluk erat beg berisi beberapa helai baju dan keperluanku itu erat-erat. aku pejamkan mataku, tidak mahu melihat semua orang yang kurasakan bagai mengejek-ngejek dan mentertawakanku.

"hanim..hanim" seseorang menggoncang bahuku perlahan. aku buka mataku. kulihat malam sudah melabuhkan tirai sepenuhnya. ah, entah berapa lama aku terlelap. kugosok-gosok mataku perlahan-lahan.

kau mengambil tempat disisiku. aku berpaling ke kanan untuk menatap wajahmu yang sangat-sangat aku rindui itu. kau mengeluh perlahan-lahan namun tidak juga kau pandang aku. entah apa yang kau pandang nun jauh di sana. sudah tidak sudikah kau memandang aku lagi? hina sangatkah aku ini? esak tangisku yang keluar kali ini, tidak dapat kutahan-tahan lagi, lalu aku mengongoi bagai kanak-kanak yang kehilangan ibunya.

tiba-tiba kau peluk aku. cinta, tidak pernah aku bayangkan kau akan memeluk aku dalam suasana seperti ini. malam itu, kemejamu basah dengan hujanan air mataku.

setelah tangisanku agak reda, kau ambil beg dipangkuanku lalu kau gengam tanganku, kau tarik perlahan. entah ke mana kau mahu bawa aku. aku sudah tidak peduli. asal kau ada, ke hujung dunia pun aku sanggup bersama.

kau bawa aku ke hotel, tidak jauh dari rumahmu, kata kau. kau daftar aku di situ, kemudian kau temani aku ke bilik. di sana kau paksa aku berbaring, lalu kau selimuti aku.

"aku keluar sekejap. nanti aku datang balik" pesanmu sebelum pergi. aku cepat-cepat menarik tanganmu, tidak mahu mengizinkan kau pergi.

"aku datang balik. aku janji. sekejap ajer aku keluar nih.." katamu sambil perlahan-lahan melonggarkan genggaman tanganku.

mungkin aku terlelap lagi agaknya kerana kali ini kau harus mengejutkan aku lagi. di tanganmu ada sepiring gado-gado.

"sedap gado-gado nih. kau makan yer" kau sua pinggan itu kepadaku, lalu kusambut.

"makan!" arahmu lembut tetapi tegas.

kusuap juga gado-gado itu lalu kukunyah perlahan-lahan. mungkin benar katamu, gado-gado itu sedap, namun deria rasaku bagai sudah tidak peduli. kau hidupkan televisyen di dalam bilik yang sedang menayangkan berita. sesekali kau mencuri pandang ke arahku, seakan mahu memastikan aku menghabiskan makanan itu. kupaksa juga diri menghabiskan makanan itu, lalu pinggan itu kuletak di atas meja berhampiran.

"malam ini kau tidurlah di sini dulu. esok aku datang lagi" katamu sambil bangkit, mahu beredar.

"faris.." serak sahaja suaraku itu.

"esok kita cakap lagi" katamu lalu kau melangkah meninggalkan aku sendirian

aku habiskan malam dengan melihat televisyen. entah apa rancangan yang aku tonton tidak aku ketahui.

kau datang pagi-pagi dengan menggendong sarapan pula. kita makan bersama dalam keadaan diam. ada sedikit keganjilan yang aku rasakan. ada sedikit suasana tegang di dalam bilik itu.

"kenapa tak tidur semalam?" tiba-tiba kau bersuara.

"ehh?"

"mata kau sembab" katamu sambil terus menyuap. aku berhenti mengunyah.

"aku tak boleh tidur. dah banyak tidur kot. kan kau jumpa aku pun, aku tengah lelap kat airport" aku cuba mencipta alasan.

"hmmm"

kukuis-kuis nasi goreng yang masih berbaki di pinggan. tiba-tiba aku jadi tidak tahu mahu bicara apa dengan dirimu lagi.

"janganlah seksa diri kau lagi hanim" kau bersuara perlahan.

aku diam. kulemparkan pandangan jauh-jauh ke luar tingkap. cintaku, tidakkah kau tahu, aku lebih terseksa tanpa kau di sisi.

"parents kau tahu kau ke sini?"

aku geleng-geleng kepala.

"siapa yang tahu?"

"rina.."

"lagi?"

aku geleng-geleng lagi.

kau mengeluh perlahan lalu kau picit-picit kepalamu perlahan-lahan.

"hanim, aku tak mahu kau begini. cuba kau tengok cermin tu" aku mengekori telunjukmu ke cermin di tepi dinding berhampiran televisyen itu.

"mata kau sembab, merah. badan kau pun dah susut" keluhmu lagi.

"hanim, aku tak mahu kau terus begini. kawal diri kau. janganlah ikutkan perasaan ajer" kau terus menasihatiku.

air mata yang mula merembes, cepat-cepat aku kesat dengan belakang tangan.

"hanim yang aku kenal kuat, bukan lembek dan menyerah kalah macam ni" sambungmu lagi.

"aku tak mahu pulang. aku mahu di sini. aku mahu bersama-sama kau. aku tak peduli!" kata-kata hati kali ini, dilafazkan oleh mulutku tanpa sebarang tapisan lagi.

"hanim.." suaramu bernada seakan mahu memujukku.

"faris..aku tak boleh hidup tanpa kau. tak boleh!" tegasku.

"tentunya kau boleh. sebabnya, aku takkan tinggalkan kau. kan aku kawan kau"

"tak mahuuu!!" aku sudah menjerit sambil menangis teresak di situ. kau diam, kehilangan kata-kata untuk memujukku lagi.

pagi ini kita jadi dua insan yang sangat berbeza. aku yang tiba-tiba menjadi degil dan menurut kata hati tanpa memberikan peluang akalku bersuara, dan kau pula kehilangan kata-kata untuk memujukku lagi. kita jadi dua insan yang jauh, walhal kita sangat dekat. kita bagai dua orang asing, dan aku lemas sendiri di sini..